Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, March 11, 2009

Rukun Iman Pertama : Percaya Kepada ALLAH

Rukun Iman Yang Pertama : Wajib Percayakan Allah

Arwah datuk ku ada berpesan, " Perkara pertama bagi setiap muslim ialah wajib beriman dengan Allah "

Allah ialah nama bagi Tuhan yang sebenar. Allah yang mencipta seluruh alam dan isinya. Allah yang mengatur dan menjaganya. Allah tidak boleh dilihat, tetapi bukti-bukti sangat banyak untuk menunjukkan pada akal yang waras dan adil bahawa Allah itu wajib ada. Bukan sekadar kita wajib mempercayai bahawa Allah itu ada, bahkan wajib pula kita menyembah NYA.
Untuk hendak mempercayai Allah dan menyembah NYA, manusia wajib mengenal Allah dengan betul. Dan untuk hendak mengenali Allah dengan betul, manusia mestilah mencari dan mengkaji dalil-dalil dari Al Quran, Hadis dan Akal. Jika kita tidak mengenal Allah dengan betul, nescaya akan sesat dan kafirlah kita.

Agama Islam adalah agama yang suci. Tidak seperti penganut Kristian yang mengatakan Tuhan mereka mempunyai anak bernama Jesus yang boleh dibunuh dan disalib oleh makhluk yang dicipta oleh Tuhan. Teringat aku dalam suatu majlis dialog ringkas bersama salah seorang pesakit ku yang juga menjadi ahli Majlis Gereja.

Soalan Ahli Majlis Gereja : Islam mengatakan Muhammad kekasih Tuhan (Allah). Tetapi mengapa Tuhan membiarkan kekasih Nya dibaling batu hingga berdarah ?

Jawapan aku : Saya tak hairan kalau setakat kekasih dibaling batu sampai berdarah. Yang saya tidak faham tentang Kristian, mengapa Tuhan Ruhul Qudus Kristian membiarkan anaknya (Jesus) dipaku sampai mati ? Lagi teruk dari membiarkan kekasih dibaling batu sampai berdarah. Bolehkah Tuhan dibunuh oleh makhluk ciptaannya ? Jika Jesus anak Tuhan boleh dibunuh oleh makhluk ciptaan Tuhan, ini bermakna makhluk yang dicipta lebih kuat dari Pencipta. Masuk akalkah ? Contohnya, awak membuat sebuah kerusi. Bolehkah kerusi yang awak buat, bergerak sendiri membunuh awak ? Oleh itu, Tuhan menciptakan manusia, bolehkah manusia membunuh Tuhan ? Tak masuk akal.

Agama Islam tidak juga seperti agama Buddha yang menyembah berhala yang mereka dakwa menjadi perantaraan kepada tuhan yang sebenar. Bila ditanya kepada mereka, siapa Tuhan yang sebenar ? Sami mereka sendiri tidak berupaya menjawabnya.

Agama Islam tidak juga seperti agama Hindu yang mempunyai tuhan yang berbilang-bilang, ada yang berkepala Gajah, ada yang bertangan lapan, ada yang berperut boroi, ada juga yang berupa lembu. Apakah "tuhan" itu lemah sehingga perlu berjemaah dengan "tuhan-tuhan" yang lain ? Apakah tuhan itu berbentuk-bentuk ? Apakah tuhan itu diukir dan dibuat oleh makhluk ? Lagilah tak masuk akal yang waras.

Sebab itulah, setiap muslim wajib mengenal Allah dengan betul. Nanti timbul pula soalan, "Sedangkan Allah tidak boleh dilihat, bagaimana pula hendak mengenal Allah dengan betul ?" Walaupun zat Allah tidak boleh dilihat, kita mampu mengenal Allah dengan kadar mengenali sifat-sifat NYA. Juga kita mengenal Allah dengan kadar mengenali nama-nama NYA.

Apa itu zat ? Apa itu sifat ?

Senang saja. Apabila kita kata : DINOSAUR BESAR, maka "Dinosaur" itu ialah sesuatu yang ada, yang wujud. Sesuatu yang seperti itu dinamakan ZAT. Dinosaur adalah ZAT.

"Besar" pula menyatakan rupa atau keadaan sesuatu zat (dinosaur). Maka "besar" itu dinamakan SIFAT. Ertinya, SIFAT adalah menyatakan rupa atau keadaan sesuatu ZAT. Dan sifat bersandar kepada zat. Maksud bersandar di sini ialah sifat memerlukan zat. Kalau tak ada zat, sifat tak wujud. Sifat ini hanya ada difikiran dan tidak boleh disentuh.


Contoh 1 (Zat yang boleh dilihat, disentuh, dirasa) : Biji saga merah. Biji saga adalah zat. Merah adalah sifat. Kalau tak ada biji saga, tak adalah tempat untuk sifat bersandar. Maka tak adalah merah. Adanya merah kerana adanya biji saga. Merah hanya tafsiran di akal, kita tidak boleh memegang merah.

Contoh 2 (Zat yang tidak boleh dilihat, disentuh, dirasa) : Fikiran jumud. Fikiran adalah zat. Jumud adalah sifat. Kalau tak ada fikiran, tak ada tempat untuk sifat jumud bersandar. Adanya jumud sebab adanya fikiran.

Begitulah antara caranya untuk mengenal Allah SWT dengan betul, melalui mengenal sifat-sifat NYA. Kerana kewujudan Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat kesempurnaan Yang Maha Terpuji dan Maha Agung.

Bagaimana kita boleh mengetahui dan mengenal sifat-sifat Allah SWT ?

Kita boleh mengetahuinya dari Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW, serta bantuan akal.
Ulamak ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah sepakat bahawa setiap muslim wajib mempercayai secara ringkas (ijmali) bahawa Allah SWT memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi NYA. Aku sengaja memasukkan susunan kata "yang layak bagi NYA", kerana ada sifat-sifat yang "sempurna" pada sisi makhluk tetapi tidak sempurna pada sisi Allah SWT. Contohnya sifat "merendah diri". Sifat ini memang baik dan "sempurna" bagi manusia, tetapi sifat "merendah diri" tidak sempurna dan tidak layak bagi Allah SWT yang menjadi Tuhan kepada sekelian alam.

Andainya adalah manusia kat dunia ini yang berkata " Aku alim " atau " Aku mulia ", ini bermakna orang itu membesarkan dirinya dan berbohong, kerana sifat-sifat itu bukan berasal dari dirinya tetapi datang dari Allah SWT. Anytime, Allah boleh hilangkan sifat tersebut darinya.
Kadang-kadang ada suara-suara sumbang yang mempersendakan "Buat apa buang masa mempelajari sifat-sifat Allah? "

Jawapannya mudah aja. Para ulamak mujtahidin, mereka berpandangan jauh. Fikiran mereka global. Ada orang mengaku global, tetapi batas fikiran setakat dalam chat room saja. Tak lebih dari itu. Tetapi ulamak mujtahidin, walau mereka tidak mengaku global, walaupun mereka tak main internet dan berchatting kat yahoo group, tetapi pemikiran mereka yang jauh dan luas mampu melihat juzuk dan ruang yang boleh menyebabkan seseorang Muslim tersesat pegangannya. Maka ulamak mujtahidin seperti Imam Abu Hassan Al Asyaari rahmatullah a'laih dan Imam Mansur Al Maturidi rahmatullah alaih menyusun ilmu tauhid yang orang Melayu kita sekarang kenali sebagai Ilmu Sifat 20 (orang Melayu kita ni cukup kreatif dalam memberi nickname), kerana sifat-sifat bagi Allah inilah yang sering digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyesatkan aqidah umat Islam.

Sebagai contoh, Asaari Mohamad, Pengerusi Rufaqa yang dulunya dikenali sebagai Jemaah Al Arqam. Rakaman dialog antara Asaari dan "Rasulullah" yang direka sendiri oleh Asaari Mohamad yang pernah disiarkan oleh TV3. Antara dialog tersebut ialah : Nabi menjanjikan Asaari Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 3 bulan dari tarikh dialog tersebut.

Orang yang mempelajari dan memahami ilmu Sifat Dua Puluh akan nampak, kesesatan Asaari Mohamad disitu. Walaupun cuma satu ayat dari dialog tersebut, mereka yang mempelajari ilmu Tauhid akan sedar betapa lemahnya, betapa jahilnya, betapa tiada kudrah dan iradahnya Allah SWT digambarkan di dalam dialog tersebut. Mustahil Allah dari memiliki sifat-sifat kekurangan. Kerana setelah lebih 3 bulan dari tarikh dialog tersebut, Asaari Mohamad masih menjadi seorang penjenayah. Adakah Allah SWT itu jahil kerana tidak tahu Asaari Mohamad tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 3 bulan sehingga mewahyukan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan berita kepada Asaari Mohamad yang dia akan jadi PM lagi 3 bulan ? Adakah Allah SWT itu dinafikan sifat kudrah dan sifat iradahnya kerana tertakluk kepada faktor masa 3 bulan ? Maha Suci Allah dari sifat-sifat kekurangan dan kelemahan.
Begitu juga gambaran bahawa Rasulullah seorang yang jahil dan khianat. Rasulullah SAW menjanjikan Asaari Mohamad menjadi PM lagi 3 bulan dari tarikh dialog. Lebih 3 bulan, Asaari Mohamad masih seorang penjenayah. Adakah Rasulullah SAW berkata dusta ? Maha Suci Allah. Rasulullah SAW bersifat dengan sifat Siddiq. Mustahil Rasulullah SAW berdusta. Dan setiap apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah yang diwahyukan oleh Allah SWT. Apakah wahyu Allah itu merupakan pembohongan ? Maha Suci Allah dari sifat jelek itu.

Inilah antara bukti, wajibnya dan pentingnya setiap Muslim mendalami ilmu Tauhid dan mengenal Allah SWT dengan kaedah yang betul. Agar terhindar dari kesesatan. Dan para Imam Ahlus Sunnal Wal Jamaah iaitu Imam Abu Hasan Al Asya'ari dan Imam Mansur Al Maturidi telah nampak bahwa akan ada pihak yang akan mengelirukan umat Islam tentang sifat-sifat Allah & Rasul sebagaimana yang dilakukan oleh Asaari Mohamad, maka mereka susun ilmu Tauhid Sifat 20, agar umat Islam yang mempelajari ilmu ini nampak kesesatan yang dibawa oleh ahli-ahli bida'ah seperti Asaari Mohamad dan Rufaqa.

Ini juga adalah bukti, walau sudah 1400 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita, fahaman Mu'tazilah modern masih berleluasa di tahun 2009. Kaum Mu'tazilah modern ini senang-senang mengeluarkan fatwa berdasarkan hawa nafsu mereka. Maka tidak hairanlah golongan Mu'tazilah modern ini benci kepada manusia yang cuba menegakkan makrufat. Malah mereka juga menggalakkan penutupan aurat muslimah dengan hanya memakai kebaya nyonya.

Cukup disini dulu.

Cernakan dulu. InsyaAllah kita akan teruskan dengan membahaskan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi Allah SWT di masa akan datang.

Wallahu a'lam